My life after diagnosed with cancer

Isnin, 31 Oktober 2016

ku dan kumpulan sokongan

Saya Juana Jamaludin merupakan seorang isteri dan ibu kepada tiga orang cahaya mata (13 tahun – 2 tahun) dan sedang bekerja di sektor kerajaan. Pada 22 Julai 2016, kehidupan saya berubah ketika berada diusia 35 tahun apabila doktor mengesahkan saya mengalami barah darah jenis Acute Promyelocytic Leukemia (APML atau APL). APML merupakan sejenis barah dari sub-type AML (Acute Myeloid Leukemia) dan sangat jarang terjadi berlaku.

Saya diarahkan oleh doktor untuk segera membuat rawatan INDUCTION kerana jenis APML ini boleh membawa maut sekiranya tidak dirawat dengan segera. Dengan tiada ilmu mengenai sakit ini serta dalam keadaan yang terkejut, saya mengikut sahaja nasihat doktor dan berusaha mencari seberapa maklumat mengenai APML melalui internet.

Saya akui bukan mudah untuk mencari maklumat dan mereka yang sama jenis sakitnya dengan saya. Dengan teknologi yang canggih sekarang, saya gunakan internet dan Facebook (FB) sebagai medium untuk mendapatkan maklumat, mencari kumpulan sokongan pesakit barah di Malaysia dan juga kumpulan sokongan khusus untuk APML dari pelbagai negara di samping penerangan daripada doktor dan jururawat yang merawat.

Saya telah melalui rawatan pertama dipanggil terapi induksi (INDUCTION) yang memakan masa selama 25 hari di dalam wad untuk pemantauan dan juga bagi menjalani kimo. Setelah selesai INDUCTION, sampel sum-sum tulang diambil untuk melihat keberkesanan rawatan. Alhamdullilah keputusan menunjukkan in remission dan saya kini dalam fasa rawatan ke dua iaitu terapi konsolidasi/pengukuhan (CONSOLIDATION) bagi membunuh sel-sel leukemia yang tertinggal dan untuk mengelakkan relap. Pada fasa ini saya akan menjalani 3 pusingan kimo dan setelah tamat, doktor menjangkakan saya akan menjalani rawatan fasa ke tiga iaitu terapi berterusan (MAINTENANCE) yang melibatkan pengambilan ubat-ubatan sehingga 2 tahun. Selain itu, darah saya juga akan diambil dan juga sample sum sum tulang secara berkala 3 ke 6 bulan sekali untuk memantau tahap kesihatan saya.

Bukan senang nak menghadapi proses kesembuhan ini terutamanya bagi saya yang masih di peringkat CONSOLIDATION. Saya rasa hidup kini bagaikan ‘roller coster’ dan saya akui kehadiran kumpulan sokongan ini sangat penting bagi saya untuk kekal positif. Bagi saya, mereka yang berada di dalam kumpulan sokongan ini betul-betul memahami perasaan pesakit barah. Walaupun begitu saya sentiasa bersyukur kerana dikurniakan suami, anak-anak, ahli keluarga, majikan dan rakan-rakan yang selalu ada untuk saya. Malahan para doktor dan juru rawat juga sangat baik dalam membantu saya untuk kekal positif dan kembali sihat.



Doktor kata boleh sembuh bagi sakit jenis ini, walau bagaimanapun ia memerlukan kesabaran yang tinggi dan kekuatan bagi menghadapi perjalanan yang panjang dan berliku. Saya bersyukur diketemukan dengan insan-insan yang senasib dengan saya yang sama-sama membantu memberi kekuatan dan berkongsi suka duka. Air mata juga menjadi kekuatan untuk saya lebih kuat dan saya yakin ianya merupakan anugerah dari Allah untuk saya lebih mensyukuri dan menghargai kehidupan saya kerana saya antara insan yang terpilih itu.

Qhaleeda, Ijam, Myka dan ibu. (qhalyd tukang ambik gambar)
mereka antara yang memberi kekuatan untuk ku 
Bersama Zaki yang menemukan Yana dengan kumpulan sokongan yang lain


Bersama kak Hanes yang datang ziarah semasa INDUCTION
Antara teman rapat yang selalu menceriakan
x



2 ulasan:

  1. sesunngguhnya ciptaan Allah itu sgt luarbiasa...setiap pertemuan ada hikmah yg agak sukar ditafsirkan...kehidupan yg sementara ini satu kesyukuran kerana diberikan ruang dan peluang utk bersama insan2 yg tersayang...mereka adalah kekuatan yg kukuh utk selamanya...buat Juana@Yana...yg satu masa dahulu saya kenali adalah seorang yg sgt kuat dan yakin pd diri sendiri...setiap yg hidup pastinya akn berakhir dgn kembali kepada pencipta yg Maha Esa...tetapi selagi nafas masih berfungsi...teruskan dgn satu kehidupan yg menjadikan diri kita sebagai insan yg istimewa...semoga Yana kuat...tabah...sentiasa dekat kpdNya...keajaiban mampu terjadi...yakin pd diri sendiri...yakin pd Allah S.W.T....semoga Yana segera sembuh...hanya doa yg mampu saya panjangkan setiap waktu...semoga kebahagiaan disamping ijam dan anak2 memberi kekuatan buat Yana...utk segera sembuh...in shaa Allah...amiinn...

    BalasPadam

Close the Care Gap

Sambutan Hari Kanser Sedunia 2022 – 2024:  Close the Care Gap   Sambutan Hari Kanser Sedunia yang bertemakan  ’Close the Care Gap’  dilaksan...